Tuesday, July 30, 2013

Kenapa mesti main mercun dan bunga api bila nak raya????


Sejak zaman di kampung, anda membesar di bawah letupan mercun dan bakaran bunga api, sejak zaman kanak-kanak, ceria bermain di halaman rumah, main kejar-kejaran, main perang-perangan, dan mercun itulah yang telah menjadi mainan sejak zaman silam.

Kini bunyi mercun masih ada lagi, ia seolah-olah benda "wajib" yang mesti ada setiap kali hari raya puasa. Bunyi mercun tak kira waktu, sentiasa ada di mana-mana. Mungkin sejak tahun 60-an lagi subbudaya kita telah membenarkan agar mercun dan bunga api dijadikan salah satu bentuk permainan yang dikaitkan dengan hari perayaan, merayakan hari raya aidil fitri. Sejak bulan Ramadan pertengahan kita sudah galak bermain mercun dan bunga api. Permainan yang bahaya ini tidak membuatkan masyarakat serik dan jera, meski kes-kes terkena mata, cedera tangan, cedera muka dan sebagainya, mercun dan bunga api berpisah tiada.

Atas sebab itulah, kita saban tahun dinasihatkan agar jangan membeli mercun dan jangan bermain mercun. Nasihat ini adalah nasihat radio dan tv atau nasihat orang akhbar. Siapa pun tak ambil peduli. Amaran demi amaran, orang tak kisah pun, mercun dan bunga api adalah barang wajib, tidak sah berhari raya kalau tidak mendengar letupan mercun. Di mana salahnya kita? Kenapa masalah mercun dan bunga api yang merbahaya ini tidak dapat dibanteras dengan tuntas? Mungkin kita sambil lewa sahaja. Sempadan kita bocor, lagipun, siapa yang hendak kawal sempadan 24 jam di masa perayaan ini?


Bukan selalu. Setahun sekali kita bawa mercun dan bunga api banyak-banyak apa salahnya! Jadi, setelah menjadi subbudaya Melayu, mercun dianggap tidak ada apanya. Ia tidak merosakkan aqidah umat. Ia hanya permainan, untuk suka-suka, untuk berhibur meskipun benda itu bahaya. Sebenarnya, kita tidak perlu nak bagi amaran kepada orang ramai. Dan kita tak perlu mengharapkan kerjasama orang ramai membanteras masalah bermain mercun dan bunga api.

Kita patut galakkan orang ramai bermain mercun semahu-mahunya, bakarlah sebanyak mana, kalau boleh biarlah peruntukan beli mercun itu setidak-tidaknya sampai beratus-ratus ringgit. Diadakan perlawanan pembakaran mercun terpanjang berjela-jela, permainan sayembara bunyi letupan mercun yang hebat di tahun ini, diberikan piala sanjungan, dikalungkan pingat emas, perak dan gangsa kepada pembakar mercun yang paling banyak! Barangkali inilah yang diinginkan oleh rakyat kita. Ketika diadakan berbagai kemahiran bermain mercun, sudah tentu ada permainan improvisasi dan eksperimental sekali.

Ramailah anak-anak yang tunjuk bakat bakar mercun yang luar biasa. Ada yang bakar mercun guna mulut, guna hidung, atau gaya lompat tikam, pendeknya, kemahiran yang dipamerkan ini dijadikan semacam sukan. Sukan rakyat. Apabila diadakan sukan yang begini hebat, baharulah kita sedar bahawa di negara kita tidak ada kanak-kanak yang jaguh dalam permainan mercun dan bunga api untuk mendapatkan pingat emas di peringkat Asean paling tidaknya. Walaupun rakyat kita kemaruk main mercun dan bunga api setiap kali raya, kemahiran mereka bermain mercun masih di tahap amatur. Sekadar tahu cucuh sumbu dan lempar. Setakat cucuh sumbu tutup telinga dan tengok mercun itu meletup!

Apabila diadakan sayembara bakar mercun dan bunga api, rasanya baharulah rakyat akan jadi jera. Mereka jadi tepu dan tak mahu beli mercun. Bayangkanlah, setiap tahun bakar mercun dan main bunga api, akan tetapi apabila disukankan, tak pernah dapat pingat emas atau perak pun! Kalaulah begitu jadinya, nampak benar, kita main mercun sekadar main-main. Itu sebabnya, ketika bermain mercun ada sahaja kes kecederaan kerana kecuaian.

Kanak-kanak yang mahir membedah isi mercun untuk mencipta bahan mercun baru tidak sampai ke mana. Kemahiran mencipta mercun baru hanya bersifat sementara, ia tidak diteruskan apabila usia remaja. Melihat kepada cara kita bermain mercun, ia seolah-olah sudah menjadi budaya orang Melayu, setiap raya kena bakar mercun, kena ada bising-bising dengan harapan boleh halau "hantu lapar" -- dan ia akhirnya jadi semacam tradisi.

Sejak tahun 60-an sampai sekarang , setiap kali hari raya, mercun dan bunga api sudah jadi kemestian. Setiap tahun juga kita bising kenapa ia masih dijual di sana-sini?

Hanya apabila berlaku kecederaan akibat main mercun baharulah kita konon nak bertindak serius. Tetapi itu berita radio atau tv. Atau amaran demi amaran sahaja. Ibu bapa kita tetap belikan mercun untuk anak-anak mereka. Mercun kecik bukan bahaya, kata mereka. Disebabkan budaya main mercun ini tidak kita kaitkan dengan meniru-niru golongan bukan islam, maka amaran demi amaran pun dipekakkan sahaja.

Berapa banyak amaran tentang perkara lain yang kita tidak patuh? Sila gunakan jejambat, orang lintas di bawah jambatan juga. Dilarang buang sampah, orang buang juga. Dilarang berniaga di sini, orang berniaga juga. Dilarang menunggu, orang menunggu juga. Apa larangan yang benar-benar terlarang? Sedangkan hukuman mengedar dadah ke tali gantung pun orang tak hairan, inikan pula setakat main mercun. Maka jangan hairanlah, tahun depan kita main mercun lagi. Bukan haram pun hukumnya! Itulah komen baik mereka yang kemaruk bermain mercun.

 [] Oleh Andong Misnon.

Wednesday, July 17, 2013

Ramadhan : Tazkirah Bersahur

 
 
Rasulullah SAW bersabda, "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis Riwayat Bukhari

Daripada Sayyidina Abi Sa’id al-Khudri beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW : “Bersahur itu adalah makan yang berkat. Maka jangan kalian meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kalian hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta’ala dan malaikatNya bershalawat ke atas orang-orang yang bersahur.” - Hadis Riwayat Imam Ahmad

Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." - Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi

"Rebutlah "keistimewaan" dalam BERSAHUR itu, kerana ianya bukan setakat PERSEDIAAN untuk berpuasa atau BERKAT yang ada padanya, tetapi ucapan "salam" dari para malaikat dan jauh lebih drpd itu dari Allah Ta'ala itu.

Org yg MALAS bersahur itu, umpama org yg SOMBONG utk menerima "salam" drpd para malaikat dan Allah Ta'ala."

Friday, July 12, 2013

Fadilat Berbuka Dengan Buah Tamar@Kurma

ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber rezeki, manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).

Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa.

Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70).

Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa. Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini (kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat yang sangat besar dan mulia.

Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.”

Sa’ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka akan terhindar daripada racun dan sihir.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma’ad berkata: “Kurma ialah buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu memberi tenaga bagi tubuh.

Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat manusia yang kasar.”

Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu, dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70 peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2 peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak.


Wallahu A’lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...