Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Wednesday, November 13, 2013

Ganas la bini die nie...

Isteri Pukul Suami Sebab Tak Beli Sarapan.

KAJANG – Sepuluh jahitan di kepala dan lebam di beberapa bahagian badan. Itu akibat terpaksa ditanggung seorang pengawal keselamatan apabila dihentak dengan batu dan dipukul menggunakan kayu oleh isterinya sendiri. Puncanya, hanya disebabkan lelaki terbabit yang berusia 29 tahun terlupa membeli makanan untuk juadah sarapan sebagaimana disuruh isterinya itu. Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi Selasa lalu di lokasi mangsa bertugas iaitu di pondok kawalan sebuah taman perumahan di Bandar Baru Bangi, di sini. Sumber polis berkata, sebelum itu, ketika mangsa mahu keluar rumah untuk bekerja, isterinya yang berusia 25 tahun berpesan supaya dibelikan makanan untuk sarapan. “Bagaimanapun, mangsa terlupa pesanan isterinya itu dan terus ke tempat kerja yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka,” katanya. Menurutnya, tidak lama selepas itu wanita berkenaan datang ke pondok kawalan tempat suaminya bertugas dengan menaiki motosikal. “Sebaik saja wanita itu turun dari motosikal, mangsa menghampirinya untuk bertanya tujuan kedatangan ke situ, namun belum sempat lelaki itu bertanya, suspek menumbuk mukanya beberapa kali. “Mangsa tidak membalas pukulan isterinya dan hanya berulang-kali meminta penjelasan. Dengan marah suspek memberitahu dia tidak puas hati kerana mangsa tidak membelikan sarapan sebagaimana diminta,” katanya. Sumber itu berkata, di sebalik usaha mangsa untuk menenangkan dan meminta suspek bersabar, wanita itu bertindak lebih agresif dengan menendang pula badan suaminya. Menurutnya, amukan wanita terbabit tidak berakhir di situ kerana dia kemudian mengambil kayu di kawasan berhampiran dan memukul badan mangsa. “Selepas dipukul beberapa kali, mangsa merampas kayu daripada isterinya, namun tindakan itu menambahkan kemarahan suspek yang kemudian mengambil batu dan menghentak kepala mangsa. “Akibat hentakan itu, mangsa pengsan, manakala suspek yang panik terus melarikan diri daripada lokasi kejadian,” katanya. Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kajang, di sini, untuk mendapatkan rawatan oleh rakan sekerjanya dan menerima 10 jahitan di kepala, selain ditahan di wad. Sumber itu berkata, sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital petang, kelmarin mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini. “Dalam laporan dibuatnya, lelaki itu mendakwa dia memang sering dibelasah isterinya itu biarpun hanya melakukan kesalahan kecil sejak lebih setahun lalu. “Mangsa berkata, dia memutuskan untuk membuat laporan polis ke atas isterinya kerana sudah tidak tahan dikasari selain bimbang kejadian lebih buruk berlaku pada masa depan,” katanya. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi Harian Metro, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

** Mak Aaiii...baru tak dapat sarapan dah meroyan macam nie..memang ganas!!

    GAMBAR HIASAN CUMA


Friday, November 8, 2013

Stesen Minyak Kantoi Menipu






Sudahlah harga minyak mahal ekoran kenaikan harga dua kupang oleh kerajaan , ada pulak stesen minyak yang menipu pelanggan dengan mengubahsuai pam minyak .. Tapi tak boleh cakap kuat sangat sebab nanti ada macai kata kalau tak suka boleh keluar dari Malaysia atau Menteri kata jangan naik kereta .. hehe
Pernah tak anda mengalami situasi di mana isi minyak di stesen jenama A kadar minyaknya lebih berbanding stesen minyak jenama B. Cuba perhatikan ketika kita nak isi minyak, mula-mula tekan pam apa keluar ..? Minyak ke angin ..? Berapa sen dah'hilang' kat situ ..?!

Kes penipuan stesen minyak yang dilaporkan media dikesan di negeri Perak. Isi RM100 sepatutnya dapat lebih kurang 70 liter, tapi stesen ubahsuai jadi 65 liter sahaja ..

IPOH - Dalam bahasa mudah, pengguna sepatutnya menerima 70 liter petrol untuk RM100, tetapi sebaliknya hanya menerima 65 liter sahaja. Itu penipuan yang berlaku di tiga stesen minyak sekitar Silibin dan Chemor didapati mengubah suai pam pengagih minyak (pump dispenser) bagi mengaut keuntungan dengan cepat sejak beberapa bulan lalu. Daripada tiga stesen diserbu, hanya satu daripadanya disita secara keseluruhannya kerana kesemua 26 pam pengagih minyak telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd. Penipuan itu dikesan selepas pengguna kenderaan mendapati sukatan petrol atau diesel kurang dengan harga sebenar dan mereka bertindak membuat aduan ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri. Penolong Pengarah Kanan Unit Metrologi Sah Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Putrajaya, Mohd Zulkifli Saidi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau bersama 10 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan sejak jam 3 petang kelmarin. Menurutnya, dalam Ops Sekat Minyak itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah stesen minyak yang menjalankan kegiatan tersebut selepas membuat pemeriksaan menggunakan silinder penyukat bahan api. “Malah, sebuah lagi stesen minyak turut dikesan melakukan perkara yang sama ke atas tiga pam di premis mereka,” katanya ketika ditemui semalam. Katanya, premis yang gagal menepati kehendak kementerian disita supaya pam pengagih minyak tersebut dapat memperbaharui penentusahan semula dengan MCM Sdn Bhd. “Sepatutnya, pengusaha stesen minyak perlu memperbaharui penentusahan semula pam tersebut genap 12 bulan bagi memastikan alat timbang dan sukatnya tepat. “Kita menggesa semua pengusaha stesen minyak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zulkifli berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 bagi setiap sukatan yang diselewengkan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Korang dah check jumlah minyak korang ..? Sama dengan harga ..?

Thursday, October 24, 2013

PAJERO Terhumban Ke Dalam Sungai

JITRA, 21 Okt (Bernama) -- Seorang juruteknik awam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dikhuatiri lemas apabila pacuan empat roda yang dinaikinya terhumban ke dalam sungai ketika mengelak seorang kanak-kanak yang melintas jalan di Kampung Telaga Batu, Sungai Korok, di sini hari ini.
Wan Mohd Azri Wan Mansor, 25, dikatakan dalam perjalanan dari Jitra ke Kubang Sepat untuk melawat tapak Mada di sana pada pukul 9.45 pagi dengan menaiki sebuah Pajero yang dipandu seorang kontraktor, Adnan Ahmad, 44.
Bagaimanapun, ketika melalui jalan itu, seorang kanak-kanak lima tahun cuba melintas jalan, menyebabkan kenderaan itu mengelak lalu terhumban ke dalam sungai. Rakan mangsa, Mohd Hasril Firdaus Hashim, 30, berkata beliau dimaklumkan bahawa rakannya dan pemandu kenderaan itu berjaya keluar daripada kereta dan cuba berpaut pada Pajero itu tetapi air sungai deras menyebabkan mereka dibawa arus.
Pada awalnya, pemandu kenderaan itu cuba menyelamatkan Wan Mohd Azri tetapi air deras yang disebabkan hujan menggagalkan usaha itu. "Dia tak tahu berenang jadi orang ramai yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan menghulurkan buluh, tetapi dia gagal untuk berpaut," katanya. Ketua Operasi Balai Bomba Jitra, Mohammad Darus berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.59 pagi dan sebuah bot dengan tujuh anggota dihantar untuk operasi mencari dan menyelamat. "Unit skuba juga telah dipanggil untuk membantu mencari mangsa kerana kami bimbang mangsa ditindih oleh kenderaan yang dinaikinya.
Kami juga telah minta kerjasama pihak Mada untuk menutup saliran air dari pintu B dan C sepanjang tiga kilometer bagi mengesan mangsa. "Kira-kira pukul empat petang tadi, kenderaan Pajero yang terhumban ke dalam sungai telah dijumpai kira-kira 100 meter daripada tempat kejadian tetapi mangsa belum dijumpai. Operasi mencari ditamatkan pada pukul 6 petang ini dan akan disambung semula esok," katanya. Pemandu dan kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan.

**  Pertama, kenapa nak biarkan budak berkeliaran di jalanraya.
     Kedua, harus awas dan perlahankan kenderaan di kawasan kampong berdekatan.

Tuesday, October 8, 2013

Kasih Kakak Terhadap Adiknya..Mampu kah kita??




Beberapa Gambar Mengenai Seorang Pelajar Sekolah Rendah Di Hunan Mendukung Adik Lelakinya Di Kelas Telah Tersebar Luas.

Ramai Yang Menangis Apabila Mendengar Kesusahan Yang Dihadapi Oleh Pelajar Ini.
Ramai Rakyat China Menderma Untuk Membantunya.

Menurut Jurugambar Sebenar Gambar Ini, Lu Qixing.. Gambar Yang Diambil Bertarikh 29 Julai 2011 Berlokasi Di Kelas Sekolah Rendah Shanjiang Town, Hunan, China.

Pelajar Tersebut Terpaksa Menjaga Adiknya Kerana Ibu Bapa Mereka Bekerja Di Luar Hunan. Manakala Datuk Dan Neneknya Pula Terlalu Sibuk Menguruskan Ladang Mereka.
Oleh Yang Demikian, Si Kakak Tersebut Membuat Keputusan Untuk Membawa Adik Tercinta Ke Sekolah Agar Dia Dapat Menjaganya. Si Adik Dilaporkan Mengalami Kekurangan Zat Berkhasiat Yang Menyebabkan Kepalanya Begitu Besar.

Alangkah Mulianya Hati Anak Kecil Ini. Demi Tanggungjawabnya Terhadap Pelajaran Juga Terhadap Keluarga.. Dia Sanggup Memikul Bebanan Yang Sepatutnya Digalas Oleh Kedua Orang Tuanya. Betapa Kita Di Malaysia.. Ramai Bahkan Berlambak Pelajar-Pelajar Yang Mengabaikan Pelajaran, Tidak Mahu Ke Sekolah Biarpun Tidak Dibebani Sebarang Bebanan.

Sesungguhnya, Manusia Akan Alpa Dan Lalai Sekiranya Mudah Untuk Memperolehi Sesuatu Ni’mat.. Mereka Akan Mula Menghargai N’mat Tersebut Apabila Ia Hilang Ditarik Tuhan..

Semoga Kita Sentiasa Digolongkan Dalam Golongan As-Syaakirin.. Golongan Yang Sentiasa Berterima Kasih Dan Mensyukuri Ni’mat Kurniaan Pemilik Sekalian Alam.

Tuesday, June 4, 2013

Insiden kemalangan



Hari ni lewat sikit sampai ofis..padahal cuti sekolah tu (kalau cuti sekolah kurang traffic jam)...rupanya ade xcident..mula2 xcident kat area bukit jelutong ke shah alam..ade motor dah masuk kat bawah kete..tak nampak mangsa pun maybe dah masuk ambulan sebab yg dah sampai kat situ..ok la jalan terus..masuk lak ke persiaran kerjaya di hicom glenmarie...jam juga..masing2 slow2 ..rupanya ade xcident lagi kat simpang traffic light..aduih..pemandu van tersepit bomba bz dok mengumpil pintu.... pastu tu baru terperasan ade sorang pompuan dok terbaring kat tepi jalan tepi van tu agaknye tercampak kot..dari van tu ..snap pic sbb masa tu tgh berenti kat traffic light  tapi kelabu daa maklumlan guna hp cap ayam..aduih....hari nie jer dah bertembung 2 insiden kemalangan..so untuk peringatan diri sendiri berhati2 bila memandu.

Friday, May 10, 2013

Ermm....petanda orang sakit mental ???




Terbaca lak artikel ni kat FB...alamak terasa gak...sebab kekadang tu suka gak buat camni....tapi  ramai sangat suka buat camni rasanya..maklumla kehadiran pelbagai gadjet sekarang nie.

Friday, February 8, 2013

Guru Wanita Kemalangan,Terkejut Tengok Katak Dalam Kereta!


Guru Wanita Kemalangan, Terkejut Tengok Katak Dalam Kereta.



Rawang – Akibat terperanjat melihat seekor katak dalam keretanya, seorang guru yang memandu panik menyebabkan kenderaannya hilang kawalan, lalu merempuh sebatang pokok menyebabkan dia maut, seorang anaknya parah manakala seorang lagi anaknya patah kaki.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Jalan Kota Puteri berhadapan kolam pancing Batu Arang, Jumaat lalu itu, guru berkenaan yang memandu Proton Exora dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas tamat sesi mengajar.

Mangsa, Moey Yin, 36, maut di tempat kejadian akibat parah di dada manakala dua anaknya termasuk seorang parah. Anak perempuan mangsa, Lee Jet Yu, berusia sembilan tahun, belum sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh, manakala adik lelakinya, Lee Jet Yang, berusia lapan tahun, dilaporkan stabil, tetapi patah kaki kiri.

Difahamkan, anak lelaki mangsa yang baru tersedar dari koma pagi semalam memaklumkan ibunya gagal mengawal kenderaan selepas terkejut melihat seekor katak berada dalam kereta -hm

Wednesday, January 23, 2013

Selesema: Awas, telefon bimbit juga punca jangkitan


                                                           Gambar dari Google
 
TUCSON - Terdapat lebih 320 juta pengguna telefon bimbit di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan menurut kajian Nielsen, kira-kira 50 peratus adalah pengguna telefon pintar yang digunakan secara kerap setiap hati.

Tahun ini, wabak selesema ada di mana-mana termasuk di telefon bimbit anda. Peluang anda dijangkiti wabak ini semakin tinggi jika anda terdedah dalam udara yang terbuka tetapi doktor menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mencuci tangan dan membersihkan gajet mudah alih yang mereka pegang. “Telefon bimbit merupakan 10 kali ganda kotor seperti di tandas,” kata profesor mikrobiologi di Universiti Arizona, Chuck Gerba.

Pengguna telefon bimbit bakal tertanya-tanya cara betul membersihkan gajet kesayangan mereka kerana mengelap gajet itu dengan kain lembab tidak akan menghapuskan kuman, bakteria dan virus.

Pengeluar gajet utama dunia juga tidak mengesyorkan pengguna mereka menggunakan pelarut atau sebarang alkohol bagi membersihkan gajet yang sudah dibeli. AT&T mengesyorkan para pengguna menggunakan gajet bebas tangan yang mengurangkan pendedahan telefon ke muka anda secara terus.

Mereka juga menasihati para pengguna telefon bimbit tidak menggunakan gajet kecil itu ketika berada di tandas. Kajian yang dibuat ke atas 1,000 rakyat AS mendapati bahawa 75 peratus responden mengaku menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam tandas.
Tindakan ini bukan saja dianggap sebagai pengotor, malah tidak beradap. Bagi membersihkan telefon bimbit, sesetengah pengguna menggunakan pembersih berasaskan alkohol bersama kain sebelum mengelap gajet mereka. Setakat ini, kaedah ini juga yang dikatakan paling berkesan untuk menghapuskan kuman walaupun ia bakal merosakkan kemasan telefon sedia ada.
 
Banyak juga syarikat seperti SC Johnson mula menawarkan produk yang direka khusus untuk membersihkan barangan elektronik. Kuman selesema bukan berpunca dari telefon bimbit anda sebaliknya kuman di tangan anda sendiri yang berpindah ke telefon bimbit anda. “Jika anda tidak berkongsi telefon bimbit dengan orang lain, anda tidak perlu risau kerana yang ada di telefon bimbit itu hanya kuman anda sendiri,” kata Gerba. “Tetapi jika seseorang itu mempunyai virus selesema di tangan mereka, 40 peratus kuman orang lain mampu merebak dalam tempoh empat jam,’ tambah beliau.

* Dipetik dari laporan ABC News

Thursday, January 10, 2013

Jentera Bomba berlanggar sesama sendiri…rumah warga emas terbakar.

Jentera Bomba berlanggar sesama sendiri…rumah warga emas terbakar..sungguh malang.

Kereta bomba yang terbabit dengan kemalangan


TELUK INTAN - Angkara sebuah kereta rosak di tengah jalan, misi memadamkan kebakaran di Kampung Esso, di sini, terjejas apabila dua jentera bomba dan penyelamat berlanggar sesama sendiri. Akibat kejadian itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan manakala lapan anggota lain selamat dalam kejadian tengah hari, semalam. Mangsa, Mohd Hafiz Abdul Rahman, merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan cedera di bahagian kaki apabila jentera yang dinaikinya itu merempuh jentera di hadapannya. Kejadian berlaku di kilometer 1, Jalan Changkat Jong, berhadapan bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 50 meter dari pasar raya terkemuka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.59 tengah hari semalam itu kedua-dua jentera berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Esso selepas menerima panggilan kecemasan beberapa minit sebelum itu. Seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kedua-dua jentera berkenaan bergegas keluar dari balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang hanya 200 meter dari tepat kejadian. “Setibanya di tempat kejadian pemandu jentera di hadapan yang dinaiki tiga anggota tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas terlihat sebuah kereta jenis Nissan Sunny di hadapan yang tidak bergerak dipercayai rosak dan ditinggalkan di situ. “Sebaik menekan breknya itu, jentera dinaiki enam anggota yang mengekorinya di belakang itu tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jentera hadapan,” katanya.

Jentera bomba terbabas, rempuh pokok Katanya, rempuhan tersebut mengakibatkan jentera di hadapan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahagian tepi kiri jalan manakala jentera di belakangnya terhenti pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan. Menurutnya, jentera di hadapan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang manakala jentera belakang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Minta bantuan bomba lain Beliau berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk membantu memadamkan kebakaran di kampung berkenaan.

Kejadian itu telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Changkat Jong menghala ke pusat Bandar Teluk Intan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.

Warga emas nyaris rentung

Manakala, mangsa kebakaran di Kampung Esso, di sini, semalam, nyaris rentung apabila rumah yang didiami bersama suami dan seorang anak hangus dalam kejadian berkenaan. Mangsa, Siti Asiah Salleh, 67, sendirian ketika kejadian berlaku, terselamat daripada rentung apabila diselamatkan jirannya. Suami mangsa, Saibani Mohd Khairan, 60, berkata, ketika kejadian dia mengisi minyak pada motosikal manakala anaknya keluar makan bersama-sama rakannya. Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang memberitahu rumah mereka sedang terbakar sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.

20 minit tunggu bantuan

Saibani berkata, sebaik dihubungi, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati isterinya berada di rumah jiran sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan manakala sebahagian rumah yang berusia lebih 20 tahun itu sudah habis terbakar. “Saya bersama anak dan beberapa jiran cuba untuk memadam kebakaran itu tetapi tidak berupaya kerana api semakin marak. “Kami menunggu bantuan dari pihak bomba tetapi sudah hampir 20 minit namun, bantuan tidak sampai-sampai menyebabkan saya buntu kerana keseluruhan rumah kami hangus terbakar,” katanya.

Saibani berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu sebuah kereta peronda polis tiba dan memaklumkan bahawa kedua-dua jentera Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian terlibat dalam satu kemalangan sesama sendiri. Menurutnya, dia yang sedih apabila dimaklumkan berkenaan kemalangan melibatkan jentera bomba itu.

Sumber :Sinar Harian.

Wednesday, October 31, 2012

Berita : Kereta terbakar ketika isi NGV

Batu caves - Sepasang suami isteri dan anak perempuannya berdepan detik cemas apabila kereta jenis Iswara yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian jam 8 malam kelmarin. Mangsa, R Tehinagaran berkata, kejadian berlaku sewaktu dia berhenti di sebuah stesen minyak di sini untuk mengisi gas NGV.

Katanya, dia yang dalam perjalanan dari Bandar Country Homes ke rumah mentua di Pahang menyedari saluran gas itu bocor dan memaklumkan kepada pekerja stesen minyak. “Pekerja cuba menutup saluran utama itu namun gagal menyebabkan hos mengeluarkan api dan menyambar terus kepada enjin kereta. “Saya dan isteri berada di luar kenderaan manakala anak (T Priyadharyshyini) berada dalam kereta bertindak melompat keluar menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika kejadian.

Insiden menyebabkan Tehinagaran mengalami kecederaan kecil apabila tangan dan kepalanya melecur manakala anak dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan. “Kejadian menyebabkan anak saya trauma kerana masih terkejut dengan insiden yang berlaku. “Dianggarkan lebih RM10,000 kerugian dialami apabila dua telefon bimbit, GPS dan alat permainan DVD hangus dalam kebakaran,” katanya. Sejurus kejadian, dua jentera bomba dari Gombak Selatan dan Selayang tiba di tempat kejadian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...