ADA MASA KITA PERLU MENANGIS AGAR KITA TAHU DUNIA IN BUKAN UNTUK KETAWA . ADA MASA KITA PERLU KETAWA AGAR KITA TAHU BETAPA BERNILAINYA SETITIS AIR MATA
Tuesday, July 30, 2013
Kenapa mesti main mercun dan bunga api bila nak raya????
Sejak zaman di kampung, anda membesar di bawah letupan mercun dan bakaran bunga api, sejak zaman kanak-kanak, ceria bermain di halaman rumah, main kejar-kejaran, main perang-perangan, dan mercun itulah yang telah menjadi mainan sejak zaman silam.
Kini bunyi mercun masih ada lagi, ia seolah-olah benda "wajib" yang mesti ada setiap kali hari raya puasa. Bunyi mercun tak kira waktu, sentiasa ada di mana-mana. Mungkin sejak tahun 60-an lagi subbudaya kita telah membenarkan agar mercun dan bunga api dijadikan salah satu bentuk permainan yang dikaitkan dengan hari perayaan, merayakan hari raya aidil fitri. Sejak bulan Ramadan pertengahan kita sudah galak bermain mercun dan bunga api. Permainan yang bahaya ini tidak membuatkan masyarakat serik dan jera, meski kes-kes terkena mata, cedera tangan, cedera muka dan sebagainya, mercun dan bunga api berpisah tiada.
Atas sebab itulah, kita saban tahun dinasihatkan agar jangan membeli mercun dan jangan bermain mercun. Nasihat ini adalah nasihat radio dan tv atau nasihat orang akhbar. Siapa pun tak ambil peduli. Amaran demi amaran, orang tak kisah pun, mercun dan bunga api adalah barang wajib, tidak sah berhari raya kalau tidak mendengar letupan mercun. Di mana salahnya kita? Kenapa masalah mercun dan bunga api yang merbahaya ini tidak dapat dibanteras dengan tuntas? Mungkin kita sambil lewa sahaja. Sempadan kita bocor, lagipun, siapa yang hendak kawal sempadan 24 jam di masa perayaan ini?
Bukan selalu. Setahun sekali kita bawa mercun dan bunga api banyak-banyak apa salahnya! Jadi, setelah menjadi subbudaya Melayu, mercun dianggap tidak ada apanya. Ia tidak merosakkan aqidah umat. Ia hanya permainan, untuk suka-suka, untuk berhibur meskipun benda itu bahaya. Sebenarnya, kita tidak perlu nak bagi amaran kepada orang ramai. Dan kita tak perlu mengharapkan kerjasama orang ramai membanteras masalah bermain mercun dan bunga api.
Kita patut galakkan orang ramai bermain mercun semahu-mahunya, bakarlah sebanyak mana, kalau boleh biarlah peruntukan beli mercun itu setidak-tidaknya sampai beratus-ratus ringgit. Diadakan perlawanan pembakaran mercun terpanjang berjela-jela, permainan sayembara bunyi letupan mercun yang hebat di tahun ini, diberikan piala sanjungan, dikalungkan pingat emas, perak dan gangsa kepada pembakar mercun yang paling banyak! Barangkali inilah yang diinginkan oleh rakyat kita. Ketika diadakan berbagai kemahiran bermain mercun, sudah tentu ada permainan improvisasi dan eksperimental sekali.
Ramailah anak-anak yang tunjuk bakat bakar mercun yang luar biasa. Ada yang bakar mercun guna mulut, guna hidung, atau gaya lompat tikam, pendeknya, kemahiran yang dipamerkan ini dijadikan semacam sukan. Sukan rakyat. Apabila diadakan sukan yang begini hebat, baharulah kita sedar bahawa di negara kita tidak ada kanak-kanak yang jaguh dalam permainan mercun dan bunga api untuk mendapatkan pingat emas di peringkat Asean paling tidaknya. Walaupun rakyat kita kemaruk main mercun dan bunga api setiap kali raya, kemahiran mereka bermain mercun masih di tahap amatur. Sekadar tahu cucuh sumbu dan lempar. Setakat cucuh sumbu tutup telinga dan tengok mercun itu meletup!
Apabila diadakan sayembara bakar mercun dan bunga api, rasanya baharulah rakyat akan jadi jera. Mereka jadi tepu dan tak mahu beli mercun. Bayangkanlah, setiap tahun bakar mercun dan main bunga api, akan tetapi apabila disukankan, tak pernah dapat pingat emas atau perak pun! Kalaulah begitu jadinya, nampak benar, kita main mercun sekadar main-main. Itu sebabnya, ketika bermain mercun ada sahaja kes kecederaan kerana kecuaian.
Kanak-kanak yang mahir membedah isi mercun untuk mencipta bahan mercun baru tidak sampai ke mana. Kemahiran mencipta mercun baru hanya bersifat sementara, ia tidak diteruskan apabila usia remaja. Melihat kepada cara kita bermain mercun, ia seolah-olah sudah menjadi budaya orang Melayu, setiap raya kena bakar mercun, kena ada bising-bising dengan harapan boleh halau "hantu lapar" -- dan ia akhirnya jadi semacam tradisi.
Sejak tahun 60-an sampai sekarang , setiap kali hari raya, mercun dan bunga api sudah jadi kemestian. Setiap tahun juga kita bising kenapa ia masih dijual di sana-sini?
Hanya apabila berlaku kecederaan akibat main mercun baharulah kita konon nak bertindak serius. Tetapi itu berita radio atau tv. Atau amaran demi amaran sahaja. Ibu bapa kita tetap belikan mercun untuk anak-anak mereka. Mercun kecik bukan bahaya, kata mereka. Disebabkan budaya main mercun ini tidak kita kaitkan dengan meniru-niru golongan bukan islam, maka amaran demi amaran pun dipekakkan sahaja.
Berapa banyak amaran tentang perkara lain yang kita tidak patuh? Sila gunakan jejambat, orang lintas di bawah jambatan juga. Dilarang buang sampah, orang buang juga. Dilarang berniaga di sini, orang berniaga juga. Dilarang menunggu, orang menunggu juga. Apa larangan yang benar-benar terlarang? Sedangkan hukuman mengedar dadah ke tali gantung pun orang tak hairan, inikan pula setakat main mercun. Maka jangan hairanlah, tahun depan kita main mercun lagi. Bukan haram pun hukumnya! Itulah komen baik mereka yang kemaruk bermain mercun.
[] Oleh Andong Misnon.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
nasib baik anak2 tak merengek nak bunga api...
rasanya thn ni kurang budak main bunga pi...
salam kenal & singgah...
Kata-kata yang amat bernas sekali. Mungkin kta patut tubuhkan satu NGO atau persatuan Anti Mercun Satu Malaysia. Apa yang berlaku masakini teramat melampau dan menjadi-jadi dan yang lebih memalukan lagi orang kita yang hebat dalam hal ni. Dari penyeludup, pengedar, penjual dan pembeli ialah orang kita.
Post a Comment