Monday, June 13, 2011

Kek buah campur arak

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penggemar kek buah-buahan dan tiramisu yang dijual di restoran terkemuka di negara ini dinasihatkan lebih berhati-hati memilih sajian pemanis mulut itu kerana dikhuatiri dicampur arak sebagai penambah perisa.

Arak jenis rum biasanya digunakan sebagai bahan tambahan untuk menguatkan tekstur kek berkenaan selain menambah perisa menyebabkan ia menjadi satu daripada sajian digemari ramai.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Piawaian dan Pembangunan Sistem International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance), Azudin Khalid, berkata pengguna Islam boleh merasai perbezaan makanan itu sama ada ia menggunakan arak sebagai bahan tambahan atau tidak.

“Kek buah-buahan yang menggunakan rum biasanya mempunyai tekstur yang kuat dan tidak mudah pecah apabila dipotong manakala tiramisu atau kek keju terasa sejuk bila dimakan, makanan Cina pula ada yang menggunakan wain merah sebagai penambah perisa.

“Sehubungan itu, pengguna Islam perlu lebih peka dan bertanya jika was-was ketika memesan makanan di restoran. Jika membeli biskut atau coklat kandungan di pembalut perlu diteliti bagi memastikan sama ada terdapat bahan berkod E471 yang merujuk kepada lelemak haiwan dan tumbuhan,� katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, walaupun restoran terutama dari luar negara seperti makanan Barat, Korea atau Jepun mempunyai logo halal, namun pemesongan masih boleh berlaku jika pengguna Islam tidak memainkan peranan penting atau ambil kisah terhadap apa dimakan mereka.

“Pengusaha boleh mengambil kesempatan mencampurkan bahan yang halal dan haram kerana sikap tidak peka pengguna Islam selain Akta Perihal Dagangan 1972 (APD) sekarang yang terlalu umum berhubung pelaksanaan undang-undang halal.

“Bagaimanapun, penggubalan Akta Halal tidak lama lagi yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengambil tindakan terhadap pemilik restoran atau syarikat yang tidak menggunakan sijil dan logo halal dikeluarkan jabatan itu boleh mengatasi masalah dari sudut undang-undang, namun selagi pengguna tidak peka, isu ini sukar diatasi,� katanya.

Menurutnya, pengusaha biasanya menggunakan alasan Jakim mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan sijil halal menyebabkan mereka memilih syarikat swasta yang tidak diiktiraf.

“Perkara menyebabkan sijil halal lambat dikeluarkan Jakim mungkin berpunca daripada dokumentasi yang dilampirkan tidak lengkap atau sumber atau status halal bahan mentah yang digunakan mereka tidak jelas diperoleh daripada mana.

“Di sini boleh berlaku pemesongan, pengusaha sesuka hati mencampur aduk bahan halal dengan haram. Kita selaku pengguna boleh memainkan peranan dengan ‘memaksa’ pengusaha mengikut saluran betul jika bersikap tegas tidak membeli makanan di restoran yang dicurigai status halalnya,� katanya.

Azudin berkata, IHI Alliance selaku agensi yang bekerjasama dengan Jakim menerusi pemantauan sistem dan piawaian halal termasuk di peringkat antarabangsa daripada semasa ke semasa mengadakan seminar panduan kepada pengusaha restoran halal.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Gadget

This content is not yet available over encrypted connections.