ADA MASA KITA PERLU MENANGIS AGAR KITA TAHU DUNIA IN BUKAN UNTUK KETAWA . ADA MASA KITA PERLU KETAWA AGAR KITA TAHU BETAPA BERNILAINYA SETITIS AIR MATA
Monday, July 18, 2011
Kembang semangkuk..
Nak kongsi info..lagi kat sini tentang kembang semangkuk...sebab dah dekat2 nak puasa ni teringat pula dengan minuman laici kang..emm penghilang dahaga..selalunya minuman laici kang nie mesti ade bunga kembang semangkuk baru lengkap hidangannya..mari sama kita baca info tentang bunga kembang semangkuk nie
Kembang Semangkuk
Alangkah sedapnya meminum lai chi kang jika ditambah dengan buah longan dan juga kembang semangkuk. Terasa segar badan dibuatnya. Kembang semangkuk juga amat sinonim dengan minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti ais kacang. Sebenarnya, selain sedap untuk dimakan, kembang semangkuk juga dikatakan turut mempunyai khasiat ubatan.
Nama kembang semangkuk merujuk kepada semua spesies dalam genus scaphium spp.. Ke semua spesies tersebut menghasilkan biji yang mempunyai tisu yang akan kembang seakan jeli apabila direndam di dalam air. Biji kembang semangkuk yang kering adalah ukuran dari hujung jari orang dewasa, berwarna coklat dan mempunyai kulit yang kasar
Isi di sekitar biji kembang semangkuk yang kering mengembang sehingga lapan kali ganda daripada saiz asalnya jika direndam dalam air, tidak teratur bentuknya apabila kembang dan rupanya seperti gel kemerahan. Setelah direndam dan biji dibuang, isi kembang semangkuk biasanya dicampur dengan gula pasir putih, ais dan biji selasih (basil seeds) dan diminum sebagai minuman penyejuk badan.
Kembang semangkuk turut juga dikenali sebagai selayar, malva nut (Inggeris), sahm raawng (Thai) dan kapas-kapasan (Indonesia). Terdapat 4 jenis spesies pokok kembang semangkuk yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Spesis utama termasuklah S.linearicarpum, S.longiflorum, S.macropodum dan S.scaphigerum. Tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Sterculiaceae ini merupakan sejenis pokok balak dan banyak ditemui di dalam hutan hujan tropika dan di kawasan bertanah rendah terutamanya di Semenanjung Malaysia, Thailand dan Myanmar. Setiap spesies pokok mempunyai ketinggian yang berbeza. Begitu juga dengan bentuk daun antara setiap spesies turut berbeza.
Nama sama spesies berbeza
Bagi spesies S.linearcarpum, daunnya jenis ringkas, berbentuk bujur telur yang lebar atau hampir bulat. Bahagian pangkal lai daun berbentuk jantung, hujung lai daun agak bulat. Bahagian bawah daun mempunyai sedikit bulu. Pokoknya pula sederhana besar, setinggi 35 meter. Buah spesies ini berukuran 25 milimeter panjang manakala bijinya mempunyai bulu.
Bagi spesies S.longiflorum, daunnya jenis ringkas dan berbentuk memanjang atau bujur telur. Bahagian pangkal lai daun berbentuk bulat atau membulat manakala hujung lai daun agak bulat atau tajam. Permukaan bawah lai daun tiada atau ada bulu halus berwarna kuning. Pokoknya sederhana besar dan mempunyai ketinggian 35 meter. Buah spesies ini berukuran 15 milimeter panjang bijinya berbulu.
Bagi spesies S.macropodum, daunnya mempunyai variasi bentuk dan saiz yang terdiri daripada bentuk bujur telur yang luas, memanjang, bentuk mata lembing dan sedikit tirus. Pokoknya besar dan setinggi 45 meter dan mempunyai banir yang besar yang seing menjalar luas. Buahnya berukuran hingga 22 milimeter panjang.
Bagi spesies S.scaphigerum pula, daunnya jenis ringkas dan berbentuk bujur telur. Pokoknya jenis sederhana besar setinggi 36meter. Buahnya berukuran lebih kurang 20 milimeter panjang dan bijinya berbulu.
Rawat batuk kering dan pendarahan rahim
Biji kembang semangkuk mengandungi lebih kurang 60% basorin (bahan gam atau musilaj). Kulit biji yang kering lazimnya mengandungi 4.5% protein, 24% pentosan dan 40% karbohidrat. Selalunya biji kembang semangkuk akan direndam dalam air dan dicampurkan air gula lalu dijadikan minuman.
Sejukkan badan sewaktu demam
Selain sedap diminum, biji kembang semangkuk juga dikatakan mempunyai khasiat ubatan yang tertentu. Biji kembang semangkuk dikatakan boleh direndam dalam air dan tisu buah yang kembang berwarna coklat diminum bersama air. Ia boleh digunakan bersama biji selasih dan getah anggur yang mempunyai kesan yang sama.
Ramuan ini dikatakan mampu dijadikan sebagai ubat untuk merawat asma, batuk kering, buasir, pelbagai jenis demam panas, pendarahan (hidung, perut, usus atau pundi kencing), penawar racun, melawaskan pembuangan air besar, merawat masalah kulit yang terlampau terdedah kepada cahaya matahari, masalah ginjal, sakit mata, sakit gigi, cacing dalam perut dan usus, cirit-birit dan disenteri. Bijinya juga dikatakan boleh dibuat teh herba untuk merawat bronkitis dan juga dijadikan ubat luaran, selalunya air rendaman kembang semangkuk perlu diembunkan semalaman sebelum diminum
Pelbagai guna
Batang pokok kembang semangkuk yang agak ringan amat sesuai dibuat papan lapis, perabut, tangga, kotak, lantai lamina dan bilah mancis.
Selain itu, kulit kayu pokok kembang semangkuk juga dikatakan mempunyai khasiat ubatan terutamanya untuk merawat disenteri, pendarahan rahim dan melawaskan pembuangan air kecil. Caranya adalah dengan mencampurkan kulit kayu dengan bahan herba lain dan kemudiannya direbus dan air tersebut kemudiannya diminum.
Resepi pilihan untuk kembang semangkuk
Bahan-bahan (5-6 orang)
* 6-7 biji kembang semangkuk
* 1 senduk gula batu - ikut suka manisnya
* 12-14 biji buah mata kucing (kering)
* sepaket kecil biji selasih (basil seed)
* 7-8 ketul buah kabung/kundur
* 1 1/2 - 2 jag air
Cara-cara :
1. Rendam kembang semangkuk selama 1 jam sehingga betul-betul kembang di dalam periuk yg berisi 1/12 - 2 jag air. Buang kulit kembang semangkuk serta urat-uratnya.
2. Basuh dan rendam biji selasih hingga kembang.
3. Masukkan buah mata kucing ke dalam periuk yang berisi air kembang semangkuk tadi.
4. Masak air tersebut dengan api sederhana sehingga mendidih.
5. Setelah mendidih masukkan pula gula batu dan buah kabung/kundur dan kacau.
6. Tunggu 10 minit sehingga gula larut dan sebati dengan air dan bolehlah padamkan api.
7. Masukkan biji selasih yang telah kembang tadi.
8. Sedia dihidangkan untuk diminum mahu pun panas ataupun sejuk pun boleh ikut selera masing-masing.
Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dan khasiat kembang semangkuk, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.
Sumber : MisteriAlam #1265 dan En.Wikipedia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment